Tuesday, November 17, 2009

Saya sayang tikus saya.


Aku rehatkan blog ini buat sebentar kerana aku pulang ke tempat asalku. Terima kasih buat semua yang sudi menjengah belog yang baru nak hidup nih. Musim ni aku rasa memang kurang sangat aku merapu dan meraban kat dalam nih. Mungkin sebab otak dan penat dan tak berapa betul sebab sekiranya aku sibuk agak tidak logik kerana aku tidak pernah sibuk walaupun banyak kerja yang perlu aku buat. Harap maaf aku ucapkan andai terkasar bahasa tapi sedaya upaya aku cuba mengunakan bahasa baku yang betul walaupun terdapat sesetengahnya mempunyai bahasa yang agak macam haram jadah..tapi disebabkan ingin mermatabatkan bahasa 'Malayu' itu aku terpanggil oleh diriku sendiri untuk menggunakan bahasa melayu kerana aku memang tidak berapa reti menggunakan bahasa Inggeris, Sepanyol, Perancis mahupun Korea.

Selain daripada itu, aku juga ingin mengucapkan takziah kepada kedua-dua ekor tikus yang aku bela kerana masih belum dikurniakan cahaya mata dengan ucapan diharap mereka banyak bersabar. Mungkin tidak ada rezeki lagi tu. Aku juga berharap pengunjung belog ni teruslah menyokong belog yang tak seberapa ini dan menyokong hasil seni yang aku paparkan dalam belog ni.Walaupun agak macam hampeh tapi boleh la kot. Aku akhiri dengan sebuah pantun

Dalam rumah ada pencuri, pencuri datang dengan perompak, bukan niatku nak mencuri, tapi akhirnya mati kena penyepak.

entah hapa punya pantun ni mcm cilake ja.

Friday, November 13, 2009

Kisah Tentang Hidup..


Sedang aku belari-lari menghilangkan kebosanan di kepala, otak aku terpandang suatu kisah tentang sebuah hidup..sebuah kisah sebuah kegilaan. Aku tak tahu siapa penulisanya tapi yang pasti bukan aku yang menulisnya. Aku kongsikan di sini, sebuah kisah tentang hidup...

RESOLUSI KAKI 5

Aku bukan orang gila. Siapa kata aku gila? Aku tak gila! Orang gila bolehkah masuk Askar Wataniah berjuang menentang Bintang Tiga? Aku pernah bersama-sama berkorban demi sebuah kemerdekaan. Hey kawan! Neuron-neuron otak kanan dan otak kiriku masih berdenyut berfikir. Huh! Otak aku bukan tiga suku. Psycho! Bagiku ia masih sempurna. Penuh dan lengkap. Padat dan jitu. Di kaki 5 yang aku huni ini, aku berdiri sebagai seorang perakam, pemikir dan pencerita. Ya! Di kaki 5 ini, aku telah merakam seribu satu macam kisah anak bangsa melalui lensa penglihatanku. Gambar-gambar rakaman itu kusisip dalam album pemikiranku. Ingat kawan! Aku cuma sisipkan sebentar sahaja. Bukan menyimpannya berlama-lamaan. Mulut dan lidahku tidak pandai berahsia dan menipu. Lalu akan aku ceritakan semuanya pada manusia-manusia yang lalu-lalang di kaki 5 ini. Biar mereka buat resolusi tentang kegilaan-kegilaan di kaki 5 ini!

“Pak Mat gila! Pak Mat gila! Pak Mat orang gila!”

“Hey orang gila! Pergi mampuslah!”

“Eee…Jijik aku tengok lelaki tua tiga suku ni!”

“Eee…Busuknya! Loya! Mual tekak aku!”

Mereka bilang pakcik gila. Mereka jelek melihat pakcik. Pakcik tak marahkah? Kenapa pakcik selalu diam meski dihina begitu?

Mengapa aku harus cepat melenting? Aku cuma sekadar seorang perakam, pemikir dan pencerita. Bukan pendebat atau pembahas. Mengapa harus aku sia-siakan air liurku, berdebat dan berbahasa dengan manusia yang tidak mengerti nilai bahasa dan hemah budi? Mereka punya otak tapi tak punya akal. Gila! Huh! Malas aku mahu layan orang-orang gila seperti mereka.

“Pak Mat gila! Sampai bila Pak Mat nak tidur di kaki 5 beralas kotak? Lembu dan kambing pun tahu tidur dalam kandang. Ha…ha…ha…Pak Mat gila! Pak Mat tiga suku!”

Mereka keji pakcik! Pemuda-pemuda sial itu menghina rumah dan alas tidur pakcik. Hairan. Pakcik masih mampu bersabar.

Bersabar itu separuh daripada Iman. Kau tak mahu jadi orang beriman? Sudah berapa kali mahu kubilang padamu. Aku tak gila. Mereka yang gila. Biarlah aku tidur di kaki 5 beralas kotak daripada hina seperti mereka yang tidur menyewa motel. Tidur beralas tilam, bersedap-sedapan dengan perempuan-perempuan yang maruah diletak di tapak kaki. Sudah kukatakan, aku perakam, pemikir dan pencerita kisah anak bangsa di kaki 5 ini. Aku kira aku lebih mulia berumah di kaki 5, di tepi longkang yang busuk daripada hina bergelumang noda di tilam empuk, di motel berhawa dingin. Nah! Siapa yang gila! Aku atau pemuda-pemuda itu?

Kegilaan lelaki pada perempuan tidak pernah pupus sejak zaman Tok Adam lagi. Mereka sudah gila! Sudah lama jadi gila! Lelaki dan perempuan yang siang malam asyik lalu-lalang di kaki 5 ini semuanya gila! Tanpa segan silu dan tanpa malu mereka berpelukan. Kejap dan mesra. Bibir bertemu bibir. Lalu naik ke motel, tingkat dua di bangunan yang hampir dengan rumahku- kaki 5. Jelek! Kerana itu aku tidak pernah menangisi mahupun meratapi kala mereka menghinaku dengan perkataan gila itu. Kau tahu, aku ketawa dan mengeji dalam hati. Mereka itu lebih gila, hina dan jijik. Aku kira aku lebih berotak, berakal dan bermaruah. Tahu menilai antara kegilaan maknawi, hakiki dan batini. Manusia tenggelam dalam kegilaan syaitan dan nafsu. Sayang! Orang-orang gila itu sering menuding jari kepadaku sedangkan mereka tidak pernah sedar akan kegilaan yang sedang mengamuk membunuh iman mereka.

“Pak Mat gila busuk, pengotor. Anak-anak kecil pun tak sanggup menyarung baju compang-camping yang dipakai kamu. Eee…busuk! Jijik!”

Pakcik perlu keluar dari kegilaan ini. Hentikan dan buktikan pada perempuan-perempuan kota itu!

Aku sudah mangli. Mangli dengan cemuhan. Seorang perakam, pemikir dan pencerita tidak harus cepat mengalah hanya kerana cemuhan dan kejian. Orang yang cepat putus asa dan kecewa hanya kerana teguran adalah orang yang sombong dan mementingkan diri sendiri. Aku tak gila! Pakaian yang kupakai ini lebih mulia berbanding perempuan-perempuan itu. Yang gila glamor dan publisiti, punya wang berguni-guni dalam simpanan tapi masih menyarung kain pendek separas lutut. Memakai baju terpelahang di dada. Tidak cukup kain atau duit sudah kehabisan dek bercanda di malam pesta Tahun Baru? Ha…ha…ha…

Tapi sampai bila pakcik sanggup menadah telinga, mendengar setiap cemuhan mereka. Marilah pakcik…Saya bawa pakcik menikmati keindahan dunia yang lebih bersih dan indah.

Aku termangu. Pemuda itu membeliakkan mata menanti jawapan. Aku sebetulnya masih kasihkan kaki 5 ini. Di sini aku belajar jadi perakam, pemikir dan pencerita yang hebat. Wah! Dari seorang askar kepada seorang pemikir. He..he..he.. Nantilah aku pertimbangkan pandanganmu, ya!

Kau tahu, prempuan-perempuan itu berkata aku gila, busuk dan kotor lalu aku ketawa dalam hati. Mereka mawar yang cantik dan wangi di luar, tapi patah durinya dan madunya sudah jadi hampas. Jadi lebih baik aku terus busuk dan kotor begini daripada wangi dan cantik seperti mereka. Mungkin kerana itu aku jadi buta pada busuk dan kotor. Pengertian manusia tentang busuk dan kotor terlalu sempit jika mahu dibandingkan dengan cara aku mentafsir busuk dan kotor. Aku kan perakam, pemikir dan pencerita! Biar aku busuk dan kotor di luar, tapi wangi dan cantik di dalam.

Semalam berhadapan dengan rumah aku- Ya! Di hadapan kaki 5 ini, berlaku kejadian tembak-menembak di bank. Seorang lelaki segak berkot mati terkangkang di dalam longkang. Gila! Mereka berbunuhan hanya kerana wang. Ada apa dengan wang? Hey kawan. Pastilah ada sesuatu dengan wang. Wang punya nilai di mata manusia. Hatta di mata manusia seperti aku, wang punya nilai yang tinggi. Tapi bukan yang tertinggi. Kerana aku tidak mahu jadi seperti manusia-manusia gila yang meletakkan wang, harta, pangkat dan nama sebagai tuan. Nah! Kalau kegilaan terhadap wang menguasai aku, pastilah dulu aku tidak bisa jadi askar. Pasti aku sudah jadi tali barut Bintang Tiga. Gila pada wang lalu mengorbankan maruah sendiri. Belot pada agama, bangsa dan negara. Eee…jijik aku memikirkannya. Lebih baik miskin daripada mati katak dan hina kerana wang.

Aku tak mahu jadi manusia yang gila wang seperti mereka. Hidup keluh-kesah kerana bimbang wang dan harta yang berlambak dalam simpanan suatu hari akan dirompak. Tidak pun anak atau isteri diculik dan dijadikan tebusan untuk wang berjuta ringgit. Kerana itu kukira lebih aman hidup begini. Bebas dari ketakutan dan ancaman. Kegilaan manusia terhadap wang menyebabkan mereka lupa pada tuntutan agama. Takut untuk membayar zakat walau mereka sedar sebahagian daripada harta mereka itu adalah hak fakir miskin yang perlu dilunaskan.

Orang kaya suka berhutang dan selalu lupa pada hutang. Tadi, di hadapan aku mereka bertengkar tentang hutang. Ceti dan along terus mengamuk. Huh! Terlalu banyak kisah yang perlu aku rakam, fikir dan cerita. Di kaki 5 ini, aku terus memerhati. Ramai sang kaya yang sudah botak kepalanya memikirkan strategi untuk jadi lebih kaya. Mengaut harta dan wang sebanyak-banyaknya. Aku mahu tanya. Boleh bawa ke liang kuburkah wang yang berjuta itu? Gila!

Saya mahu bawa pakcik keluar dari kegilaan ini. Yuh! Mari berangkat ke daerah waras. Manusia-manusia itu akan terusan mengejek dan menghina pakcik andai pakcik masih tidur di kaki 5, berpakaian kotor dan busuk seperti ini. Hanya orang gila sahaja yang layak menghuni kaki 5 ini.

Aku terkesima. Huh! Dia pun sudah tidak memahami aku. Sampai hati dia menganggap aku gila. Benarlah! Manusia hanya celik menilai zahiri tapi buta menilai batini. Manusia melihat dengan mata luaran tapi gagal melihat sesuatu dengan mata hati. Aku tidak gila! Hey…hey…hey…Dulu aku pejuang kemerdekaan. Kamu harus berterima kasih padaku wahai anak merdeka. Lalu hari ini aku cuma mahu jadi perakam, pemikir dan pencerita. Salahkah andai adakala aku jadi penyanyi jalanan. Adakala jadi pengemis kalau perut aku sudah berkeroncong. Adakala jadi penyair. Adakala jadi penulis. Aku ingin hidup dalam duniaku. Dunia yang jauh dari hiruk-pikuk kehidupan manusiawi yang gila dan bercampera.

Aku takut benar dengan dunia sana. Aku mendengar pelbagai kegilaan terjadi. Kegilaan nafsu bapa terhadap anak sendiri. Kegilaan nafsu datuk terhadap cucu sendiri. Kegilaan nafsu anak terhadap ibu. Kegilaan nafsu lelaki terhadap kanak-kanak. Cumbu-cumbuan di mana-mana lalu bukti membukit di perut. Dek takut dengan cemuhan masyarakat, bukti itu dilempar bak sampah. Nah! Siapa yang lebih gila? Aku atau mereka? Buat resolusi sendiri wahai kawan!

Pakcik perlu keluar dari kaki 5 ini! Buka mata melihat dunia luar. Lantas pakcik akan sedar bahawa dunia ini jauh dari kegilaan-kegilaan itu.

Aku sedikit tersentak dengan hujaman kata-katanya. Mahu sahaja aku menempelaknya. Tapi aku tak berdaya. Biarlah…Dia sahaja yang kurasakan tidak gila di kaki 5 ini. Waras! Dia kerap menjenguk aku di kaki 5 ini. Kadang-kadang datang bawa nasi bungkus berlauk ayam kegemaran aku. Entah dari mana datangnya pemuda ini, aku sendiri kurang pasti. Biarlah…Asalkan ada orang yang sudi beri aku nasi bungkus berlauk ayam. Ha..ha..ha..

Mahu saja aku tanya padanya, dunia luar sana jauh dari kegilaankah? Wujudkah dunia luar yang jauh dari kegilaan manusia meratah manusia lain? Yang jauh dari kegilaan kepada darah? Wujudkah dunia seperti itu? Manusia berkuasa sudah ramai yang gila. Mereka berperang, dahagakan darah. Mereka gilakan tanah, minyak dan kuasa. Lalu mereka berbunuhan dan tidak menghiraukan peri insani. Oh. Betullah! Dia anak merdeka. Tidak pernah merasa seksa dan azabnya perang. Tapi bagi aku…Tahu makna perang. Tahu erti berjuang. Anak dan isteriku mati diseksa Bintang Tiga. Gila! Gila! Gila!

Pakcik jangan berfikir lagi. Saya mahu bawa pakcik keluar dari kaki 5 ini. Tidaklah pakcik asyik mencari resolusi tentang kegilaan-kegilaan manusia di kaki 5 ini. Dunia ini luas. Pakcik perlu melangkah ke alam yang lebih waras.

Kau pun tahu aku sudah sebati dengan kaki 5 ini. Aku mahu terus bekerja sebagai perakam, pemikir dan pencerita di sini. Aku masih sayang untuk berpisah dengan Sudin, pemain gitar yang buta. Aku takut nanti aku rindu pada Ramli, si penyair tempang. Atau nanti kala dinihari, aku menangis mengenangkan Ayu dan anak kecilnya, si peminta sedekah.

Ini peluang baik untuk pakcik mengubah hidup. Pakcik mahu habiskan sisa-sisa tua di kaki 5 ini? Siang berpanas. Malam berembun. Hidup dalam kebusukan dan meloyakan. Dicaci, dicemuh dan dihina seperti binatang. Yuh! Saya bawa pakcik ke dunia yang lebih luas, dunia yang lebih waras.

Aku tersentak. Perlukah kutinggalkan rumahku?- Kaki 5 ini? Perlukah aku bercampur dengan kegilaan-kegilaan manusiawi itu? Arghh!

Saya bawa pakcik keluar dari sini. Ke rumah baru. Di sana pakcik akan dapat baju baru, yang wangi dan bersih. Pakcik akan jumpa ramai kawan. Makan makanan yang enak-enak. Pakcik tidak usah hidup melarat lagi. Baiklah. Pakcik cuba dahulu. Kalau pakcik tidak suka, pakcik boleh kembali ke kaki 5 ini.

Aku tersengih kala mendengar opsyen yang diberi- Kalau tidak suka dengan rumah baru, pakcik boleh kembali ke kaki 5 ini. Lalu aku mengambil keputusan mencuba dahulu dan pemergianku diiringi esak tangis Sudin, Ramli dan Ayu serta anaknya yang bogel tak berbaju. Dengan kepiluan mencengkam, aku melangkah mengikut dia, ke rumah baruku- seperti katanya.

Berdiri di hadapan rumah baruku, aku terpana seketika. Wah! Rumah baruku cantik sungguh! Lamannya penuh dengan bunga-bungaan. Lantainya licin dan berkilat. Perabotnya cantik. Ada kipas dan lampu. Wah! Ada televisyen! Di kamar tidur, ada katil, tilam, bantal dan selimut. Aku tersengih. Benar. Rumah baruku cantik dan bersih berbanding rumah lamaku dahulu.

Lantas aku bertanya dia. Rumah akukah? Dia tersenyum lalu mengangguk sedikit. Aku tersengih lagi macam kerang busuk. Dia memimpin tanganku ke suatu ruang. Di sana ada ramai manusia tua sepertiku sedang makan. Aku bertanya dia sekali lagi, mohon kepastian. Rumah akukah? Dia tersenyum. Sinis aku kira. Ini rumah orang-orang tua, pakcik. Rumah ibu bapa yang ditinggalkan anaknya. Rumah orang-orang tua yang melarat dan terbiar. Yang tidak mahu dijaga lagi oleh anak-anak mereka. Rumah orang-orang tua yang dikatakan oleh anak-anak mereka, ibu bapa ini menyusahkan dan membebankan. Lalu mereka hantar ibu bapa mereka ke sini untuk menghabiskan sisa-sisa penghidupan.

Hah!? Kali ini aku ternganga. Menampakkan barisan gigiku yang rongak. Wah! Luas dan waras ya dunia yang kau tunjukkan kepadaku. Gila! Gila! Gila! Kegilaan ini sungguh dahsyat. Terlalu! Anak membuang ibu yang melahirkan. Anak membuang bapa yang mencari rezeki. Ibu dan bapa dianggap sebagai beban. Rupanya manusia sudah ramai yang gila dan kegilaan ini padaku adalah yang paling dahsyat dan menakutkan. Mereka tidak sedarkah bahawa mereka tidak akan memiliki redha Allah jika mereka gagal memiliki redha kedua ibu bapa?

Hey…hey…hey…! Inikah dunia waras yang ingin kau tunjukkan padaku? Dunia yang jauh dari segala macam kegilaan? Huh! Ternyata kau silap dan resolusiku selama ini benar. Di mana-mana sahaja ada manusia gila, mereng, tiga suku. Hantar aku pulang ke rumah lamaku- Kaki 5. Aku tidak ingin tinggal dalam kegilaan yang maha dahsyat ini!


Ghafirah Idris


p/s: aku tahu kau juga gila kan??

24 Februari 2004

Perlis