Saturday, July 25, 2009

Dia tengok kita...dia jeling mata...

salam berbahagia..yeah..aku kembali mengegarkan industri perbankan dengan cerita-cerita yang agak logik dan masuk di akal..post kali ni aku nak berkongsi sebuah lagu paberet aku yang sememangnya dah lama aku cari lagu tu dan baru-baru ini aku telah bertemu kembali dengan lagu yang aku cari-cari selama ini.. lagu klasik la pa lagi. Pernah dengar lagu puteri remaja? nyayian Jasni..pertama kali aku dengar lagu tu masa sekolah rendah dalam cerita keluarga 99 (nk tengok cari kt you tube) tapi bukan di nyayikan oleh penyanyi asal Jasni sebab lagu tu digubah dan dinyayikan semula oleh salleh yaakob..meh try layan dulu lagu tu...



Layan

lirik: puteri remaja

eh! dia tengok kita,
eh! dia jeling mata,
aduh mak senyum lagi
amboi nona manis sekali

dia mengenyit,
amboi mak, aku dicubit,
siapa dia oh puteri remaja,

eh! dia malu malu,
di balik selendang yang biru,
dia senyum padaku,
itulah gadis impianku...


pada sesiapa yg tak berapa nak tau tu penyanyi asal lagu ni Jasni bapa kepada Allahyarhamah Roseyatimah dan suami kepada Neng Yatimah


Petikan temu ramah penerbit rancangan Senandung Lagu Lama (Radio Singapura) dengan Jasni pada keluaran Sabtu, 12 Ogos 1987.

Ketika ditanya bila beliau mula menyanyi, Jasni menjawab: "Saya mula menyanyi dalam tahun 38.

Bila pula Pak Jasni mula merakamkan lagu ke piring hitam?
Tahun itu jugalah, tahun 38.

Apa punca yang menyebabkan Pak Jasni diberi peluang untuk merakamkan lagu ke piring hitam?
Kerana pada tahun 38 tu di Singapura ada peraduan keroncong. Jadi pak cik telah memenangi peraduan tu, maka dipanggil untuk menyanyi dalam rekod empat lagu sebagai trial-lah.

Apa lagu-lagu tu pak cik ingat lagi tak?
Lagu-lagu yang pak cik nyanyikan itulah Pemuda Tanah Malaya, Diriku Yang Miskin, yang lagi dua tu saya tak ingat.

Dari tahun 38 hingga tahun-tahun seterusnya berapa banyak lagu yang Pak Jasni nyanyi kesemuanya sekali?
Lebih kurang barangkali 70 atau 80 lagulah. Lagu-lagunya Selamat Pengantin Baru, Jauh Dari Mata, Sumpah Palsu, Rindukan Bunga, Tertawan, Tari Selendang, Nona Kebaya Merah, Apa Dosaku, Bunga Kesuma, Sayang-sayang, Gadis Melayu, Diriku Yang Miskin, Gadis Bandung, Mimpi, Apa Yang Disusah, Siapa Itu Memandang Aku, Baju Biru, Tudung Saji, Puspa Hati dan Bunga Mawar. Itu yang pak cik ingat.

Dalam banyak-banyak lagu tu yang mana satu yang paling popular?
Yang popular sekali Nona Kebaya Merah, yang kedua Selamat Penganti Baru, ketiga - Jauh Dari Mata.

Ada tak pak cik nyanyi di kelab-kelab hiburan misalnya?
Pak cik ada bekerja sebagai penyanyi dalam kabaret Happy World dulu, sekarang Gay World.

Dalam banyak lagu yang Pak Cik Jasni rakamkan ke piring hitam berapa banyak seni katanya Pak Cik Jasni tulis sendiri?
Boleh dikatakan semua lagu yang saya nyanyikan itu saya sendiri tulis dan saya sendiri karang.

Pernah tak Pak Cik Jasni merakamkan suara untuk lagu-lagu filem?
Boleh dikatakan setengah daripada filem-filem Melayu selain daripada P. Ramlee menyanyi tu pak ciklah menyanyi dalam suara latar belakang Yusoff Latiff, Ahmad Mahmud, yang lain-lainlah mana yang tak boleh menyanyi dia orang panggil pak cik menyanyilah.

Tentang lagu-lagu yang pak cik nyanyi berduet dengan Lena, Momo dan lain-lain lagi, Pak Cik Jasni ingat tak lagu-lagunya?
Pak cik ingatlah satu dua lagu pak cik boleh cakap. Nyanyian Asmara pak cik duet dengan Lena, Juitaku Sayang pak cik duet dengan Lena, Tari Selendang duet dengan Momo, dan Sumpah Palsu duet dengan isteri pak cik sendiri Neng Yatimah.

Tentang lagu-lagu lama yang dirakamkan semula Jasni berpendapat:Lagu-lagu lama kalau dibikin cara baru tentu lebih baguslah. Sebab tentu akan tersebut nama-nama orang yang menyanyi, orang yang mengarang dikenang kembali bukan? Memang ada baiknyalah.


sumber:http://hamlau.proboards.com


Terasa mcm diriku berada di zaman 40-50an..klasik yang amat tika mendengar lagu nih..Siapa yang nak dengar lagu asal dari jasni leh cari kat you tube sbb aku tak leh dan tak tau cmna nak download mp3 dia kat sni (lagu versi lama lagi layan)..layan ja lah pokcik.




Thursday, July 23, 2009

Think thing!!


Beberapa ari yg lepas budak-budak taman bernam yang tak berapa nak ensem 2 ada mencadangkan aku wat satu bisnes yg bleh bagi duit poket setelah beberapa minggu berjoli menghabiskan duit Ptptn..tp fikir-fikir balik bisnes apa yg aku nk wat???

prnah jugak aku fkir nk wat bisnes jual bju sendiri print sendri tp modal plak xda aku sorg ja mana bleh jln..aku sebenarnya dah malas nak meneruskan perkidmatan mendesign 2 sebab last skali satu habuk pn tarak setelah mcm2 janji yang ditaburkan padaku...aku nganga ja la!!

klau nk wat baju nk ke org beli baju 2 nti??? satu persoalan yg aku sndri pn xtau apa jawapanya..mna aku nk cari modal 2 smua? nk pnjam ah long kah??.........dan jawapan yang aku dapat dari pemikiran aku itu...( tdo la esk2 la aku pkir...)

Thursday, July 16, 2009

Otai Komik!!


Setelah hampir dua bulan aku biarkan blog ni bersemut kali ni aku nak berkongsi skit pasal seorang pelukis yang sememangnya berkebolehan dan berbakat. Aku rasa kalau peminat seni yang mengikuti seni sejak azali lagi mesti kanal ngan tokoh yang aku nak cita nih. Kat bawah ni ada sebahagian dari penulisan aku pasal beliau yang mana aku jadikan sebahagian daripada kajian aku beberapa tahun yang lepas..



Gopa ketika di awal penglibatannya dalam bidang seni


Gopa atau nama sebenarnya Abd. Ghafar Bin Bahari merupakan salah seorang perlukis Malaysia yang popular sekitar zaman 80an hingga 90an. Nama beliau sebaris dengan perlukis-perlukis seperti Jaafar Taib, Zainal Buang Hussin, Azman Yusuf, Yamnin Daud, Khuzaie, Rosli Hamid, Nik Abdullah dan beberapa lagi perlukis tanah air. Gopa merupakan nama singkatan bagi perkataan Gabungan Orang Paling Aktif yang di berikan kepada En.Gopa. Gopa dilahirkan pada 26 Jun 1957, di Kangar Perlis. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menegah Kebangsaan Dato Dato Sheikh Ahmad, Arau, Perlis dan memulakan kariernya sebagai seorang pengiat seni dengan melukis komik. Semasa kecil beliau menetap di Kampung Bohor Inai, Jalan Kaki Bukit, Padang Besar, Perlis bersama-sama dengan kedua-dua orang tuanya.

Banyak pengalaman yang terpaksa ditempuhinya sebelum berjaya menjadi salah seorang daripada pelukis Malaysia. Menurut dari cerita beliau sendiri, sebelum bergelar perlukis beliau hanyalah seorang anak kampung yang berkerja sebagai penoreh getah, petani dan pernah juga menjadi perkerja buruh di Ladang Tebu, Chuping. Bapanya En. Bahari ketika itu hanya berkerja sebagai seorang tukang kayu. Menurut beliau lagi, selepas gagal mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM beliau merasakan harapanya untuk bergiat dalam bidang seni sudah tertutup rapat, namun mengikut pepatah melayu tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu, bergitulah yang terjadi kepada beliau apabila melalui lukisan yang yang dilukis dan dihadiahkan kepada seorang sahabat ketika hari perkahwinan sahabatnya itu, beliau didatangi oleh seorang pegawai belia yang menawarkan untuk mengikuti kursus sebagai pelukis iklan di Alor Setar, Kedah.

Gopa mula menjadi pelukis iklan di Ruslin Evertising House dan hanya diberi gaji sebanyak 40 ringgit hingga 60 ringgit sebulan. Selepas berkerja selama setahun beliau di beri kepercayaan untuk membuka syarikat pengiklanan di tempat asalnya iaitu Perlis. Namun usaha untuk membuka syarikat pengiklanan tersebut gagal apabila beliau kurang yakin dengan pengalaman yang dimilikinya. Menurut Gopa lagi pada ketika beliau bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis, dan melalui hasrat tersebut beliau membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1979. Bebekalkan wang simpanan sebanyak 30 ringgit beliau tinggal bersama bapa saudaranya iaitu A.Rahim Abdullah yang kini merupakan seorang penulis. Ketika berada di Kuala Lumpur beliau berusaha keras mengasilkan lukisan untuk dihantar kepada Majalah Dewan Bahasa, melalui pakciknya sendiri yang baru sahaja manjadi editor Dewan Bahasa pada ketika itu.


komik pertama gopa yang diterbitkan


Karya pertama beliau yang bertajuk ‘Pemintaan’ tersiar di Majalah Dewan Bahasa ketika itu. Beliau juga turut mambawa lukisan dan karyanya ke beberapa syarikat penerbitan seperti Varia Pop, Pustaka Antara dan Amir Enterprise di sekitar Chow Kit, namun kebanyakan hasil karyanya ditolak. Gopa kemudianya menjalani temuduga di syarikat penerbitan Adabi di Jalan Pantai Baru, melalui bapa saudaranya En. Rahim. Sewaktu menjalani sesi temudugu beliau terpaksa bebohong dengan menyatakan bahawa beliau pandai membuat grafik (Layout) dan tana banyak bicara beliau terus diterima berkerja dengan gaji sebanyak seratus enam puluh ringgit sebulan. Baginya gaji yang diterima ketika itu amat memadai bagi seorang pemuda kampung sepertinya.


Diantara komik terawal Gopa

Sewaktu berkerja di syarikat tersebut beliau mengambil kesempatan ke Creative Enterprise iaitu pejabat Majalah Gila-Gila yang amat popular ketika itu, Tujuanya ialah untuk berjumpa dengan Mishar yang merupakan salah seorang daripada pelukis Gila-Gila. Beliau banyak belajar daripada kartunis dan pelukis komik di situ, Sebagai perangsang, Misyar telah menghadiahkannya dakwat dan berus lukisan untuk beliau melukis komik dan kartun. Dari situlah timbul minat Gopa untuk menjadi salah seorang pelukis komik dan kartun ketika itu. Setelah syarikat Adabi tempat beliau berkerja bertukar tempat ke Taman Tun Dr. Ismail, beliau membuat keputusan untuk menghantar lukisan komiknya yang pertama yang di beri tajuk ‘Mona’ ke sebuah syarikat bernama Syarikat Media Seni Kepong yang ketika itu di urus oleh Yamin Daud, dan karya beliau terus diterima oleh syarikat tersebut. Di antara pelukis-pelukis Komik dan kartun yang bekerja di syarikat tersebut ketika itu ialah Kuzae, Rosli Hamid, Shaari AM, Nik Hassim MY, Zoy dan ramai lagi pelukis yang dikenalinya.

Menurut Gopa, bayaran tertinggi yang pernah beliau dapat sepanjang melukis komik ialah semasa melukis di Majalah Fantasi terbitan Creative, yang mana beliau telah di bayar sebanyak seratus ringgit untuk satu muka lukisan komik berwarna, manakala lapan puluh ringgit bagi lukisan komik yang tidak berwarna. Sehingga kini sudah lebih kurang lapan puluh judul komik yang telah dihasilkan Gopa. Antara majalah komik yang pernah menyiarkan karya Gopa ialah Gila-Gila, Humor, Kreko, Batu Api, Geli Hati, dan Majalah Toyol. Namun begitu, beliau bukanlah seorang pelukis tetap di majalah-majalah tersebut.




Ketika itu, beliau hanya mengendalikan Majalah di Adabi, dan bertugas sebagai pelukis layout bagi Majalah seperti Widya, Aktual dan Rintis. Selain itu, beliau turut melukis kartun, ilustrasi dan komik di majalah-majalah tersebut. Namun setelah lebih kurang dua tahun beetugas di Syarikat Adabi, beliau bertukar kerja ke Pustaka Ilmu Raya yang terletak di Gombak. Bagi beliau, semasa berkerja di Syarikat pemaju perumahan tersebut, pelbagai kesulitan yang terpaksa di hadapinya, salah satu daripadanya ialah beliau di paksa melukis pelan rumah dan terpaksa juga menjadi kerani menjual rumah. Baginya tidak semua pelukis pandai dalam semua bidang berkaitan lukisan seperti mereka letak pelan rumah yang terpaksa dilakukannya semasa berkerja di syarikat tersebut.

Peristiwa pahit baginya semasa berkerja di syarikat tersebut ialah beliau pernah di berhentikan kerja serta merta oleh pihak majikan kerana pihak majikan tidak membenarkan beliau melukis komik ketika itu. Perkara yang sama turut belaku pada isterinya yang mana turut berkerja di syarikat yang sama. Namun begitu, kuasa Allah mengatasi segalanya, beliau hanya sempat menggangur selama sehari dan ditawarkan kembali berkerja di Varia Pop oleh Ahmad Mahmud yang lebih di kenali sebagai Tamar Jalis. Di situ beliau bertugas sebagai pelukis ilustrasi untuk Majalah Varia Pop, Varia Filem, Varia Sari (Siri Bercakap Dengan Jin) dan juga turut berilusrtrasi dalam majalah keluarga dan buku masakan. Gopa juga turut bertindak sebagai penilai bagi menilai karya-karya kartunis baru untuk di siarkan di majalah tersebut antaranya kartunis Rossem, Juragan Middie dan ramai lagi kartunis tempatan yang baru mencari nama.

Selepas dua tahun berkerja di Varia Pop, beliau berhijrah pula ke Creative Enterprise iaitu syarikat penerbitan Majalah Gila-Gila yang ketika itu diuruskan oleh Jaafar Taib. Pada mulanya beliau berangan-angan untuk menjadi seperti kartunis Don yang popular dengan komik Pendekar Mata Tiga yang di terbitkan di Majalah Gila-Gila ketika itu. Ketika di Creative Enterprise Gopa di tugaskan untuk menjadi salah seorang pelukis di majalah Bambino dan belaiau turut juga menghantar kartun di Majalah Gila-Gila. Di situ beliau banyak belajar dengan Jaafar Taib dan Azman Yusof yang merupakan diantara pelukis yang terkenal ketiaka itu.

Bagi Gopa kejayaan yang bebekalkan displin yang tinggi itulah yang banyak membantu beliau dalam bidang seni . Empat bulan beliau berkerja di Creative Enterprise, beliau di tawarkan pula ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Bebekalkan pengalaman yang luas dalam bidang seni beliau menjadi pelukis komik di Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan pelukis-pelukis lain seperti Mohas, Hassan Majid, Dino, Ibrahim, Zainudin Jamil dan ramai lagi.Menurut beliau lagi, semasa bertugas di bahagian majalah bersama-sama Imuda, Sabri Yunus, Along, Mat Said dan kartunis Wahidi beliau didesak oleh saudara Imuda untuk berlakon bersamanya dalam pementasan teater yang bertajuk ‘Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman’. Pementasan yang mewakili Malaysia dalam Festival Drama Asia di Singapura dan Festival Seni Asia di Kuala Lumpur termasuk di Sabah dan Serawak tersebut memakan masa selama dua tahun, dan merupakan pementasan yang terpanjang yang pernah diikuti beliau. Gopa yang ketika itu memegang watak sampingan sebagai orang kampung hanya perlu menghafal satu dialog yang berbunyi ‘Dia duduk atas sarang semut’, beliau menyatakan bahawa sememangnya susah menjadi seorang pelakon kerana ada masanya terpaksa menerima ejekan dan penghinaan dari orang ramai.

Dalam pementasan drama beliau juga turut telibat sebagai krew, pengarah mekap dan jurulatih vocal. Namun begitu, nasib menyebelahi beliau apabila ditawar untuk memegang watak penting dalam drama Puteri Saadong, iaitu sebagai Maharaja siam. Drama Tari tersebut telah memaksa beliau untuk belatih menari selama sebulan dan akhirnya drama tersebut telah terpilih sebagai Juara Pertandingan Drama DBP Sekalung Seni, di Teluk Likas, Sabah. Sehingga kini beliau telah berlakon hampir empat puluh buah drama


Selain itu, Gopa juga turut bergiat aktif dalam bidang penulisan iaitu menulis puisi. Beliau telah menghasilkan dua buah buku kumpulan puisi ‘Bunga-bunga Rumput 2007 dan juga yang terbaru ‘lukisan pengembara 2008’. Gopa juga turut terlibat dalam menyampaikan puisi seperti di Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur, Puisi Bosnia di Stadium Merdeka, Puisi Kosovo TV3, Minggu sastera Dewan Bahasa Dan Pustaka dan banyak lagi termaksuk membaca puisi di Rancangan Anjung Budi dan Puisi Islam di RTM.

Daripada bidang pementasan teater Gopa melangkah pula ke drama TV dan filem seperti Drama sitcom 2x5, bersama-sama dengan perlakon seperti Imuda, S.Azli, Nasir Ali dan Effa Es. Beliau juga turut telibat dalam cerekarama bertajuk Hassan, Restoran Pak Ali, Orang-Orang dan beberapa lagi drama. Manakala dalam filem pula beliau terlibat dalam filem Ujang, Wanita Bertudung Hitam dan juga Mat Som.

Menurut cerita Gopa lagi, selepas menerima Anugerah Pekerja Cemerlang Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 1999, beliau telah di tawarkan menyambung pelajaranya di UITM dalam bidang Fine Art, sepenuh masa pada tahun 2000. Ketika itu beliau berumur 43 tahun dan segala wang pembelajaan semasa di UITM di tanggung sepenuhnya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Mengikut cerita Gopa beliau mula melukis figura manusia ketika berada di sekolah rendah darjah dua iaitu bermula dengan melukis kerakter seperti askar, Red Indian dan Cowboy. Manakala komik pertama yang dilukisnya semasa kecil ialah komik yang bertajuk Korok Pahlawan Rimba iaitu sebuah komik yang menyerupai kisah Tarzan yang hanya dilukis diatas buku sekolah. Ketika berada di darjah tiga beliau selalu mengambil upah melukis dengan rakan-rakanya di dalam kelas namun bukan dibayar dengan duit tetapi 5 helai kertas kosong sebagai upah melukis.

Semasa kecil Gopa amat meminati karekter Tarzan, yang mana ketika itu komik Tarzan sering di siarkan di akhbar. Menurutnya, beliau akan mengunting atau mengoyak keratan akhbar yang mengandugi komik tersebut. Selepas terkandas dalam SRP, sikap bapanya berubah apabila beliau terlalu asyik melukis sehingga lupa makan dan minum. Bapanya melarang beliau dari terus melukis dengan alasan bahawa beliau tidak boleh menjadi kaya hanya dengan melukis. Namun begitu beliau masih mengambil kesempatan untuk melukis ketika bapanya keluar bekerja.

Salah satu kenangan yang tidak dapat dilupakanya semasa kecil ialah pengalaman memelihara 5 ekor anak harimau yang telah dijumpai olah bapanya ketika meneroka hutan. Ketika itu, beliau selalu berangan-angan untuk membawa anak harimau tersebut ke sekolahnya sebagai mengambarkan kepada rakan-rakanya bahawa beliau berkawan dengan harimau sama seperti karekter Tarzan di dalam komik. Namun begitu, menurutnya sahabat rimbanya hanya dapat hidup selama seminggu kerana tidak dapat meyuaikan diri.

Gopa yang kini bertugas sebagai pelukis di salah sebuah syarikat swasta iaitu Syarikat Dawama Sdn. Bhd, masih aktif dalam kegiatan seni termasuklah menulis puisi dan persembahan teater. Beliau yang gemar bercerita mengenai zaman kanak-kanaknya telah menulis suatu artikel mengenai kisah semasa zaman kanak-kanaknya.


*penulisan ini bukalah bertujuan untuk mencari keuntungan atau mengaibkan pelukis..ia hanya sekadar berkongsi sejarah pelukis serta mengimbau kembali sejarah pelukis-perlukis terawal m'sia..sesiapa yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai9 seniman ni boleh ke blog Gopa ghafarartgallery.blogspot.com yang mana banyak memaparkan contoh karya-karya beliau seperti painting,abstrak, digital grafik dll. selain tu leh cuba ke blog puisi beliau gopabahari.blogspot.com

*Sumber penulisan dari ghafar bahari dawama sdn Bhd, myart host, ghafar-baharibiografi-penulisan ini adalah hak milik tepelihara penulis dan sebarang pengubahsuaian hendaklah dengan izin penulis.

Thursday, July 9, 2009

KEMBALI....

Salam..aku kembali dengan berita2 yang karut mengarut setelah bertungkus lumus membayar segala bil karen,air,internet yang telah dipotong..tingkiu buat semua yang sudi menjengah blog yang tak seberapa ni...kalau ada sebarang pandangan atau komen boleh terus taip kat bawah ni ok..